Lagi molek Rafizi kempen tertutup, elak fenomena panas dalam parti – Penganalisis

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kaedah kempen yang dilakukan secara terbuka oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Rafizi Ramli bakal menjadi fenomena yang menyumbang kepada suasana panas dalam proses pemilihan parti itu.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata walaupun apa yang berlaku dalam pemilihan parti bukanlah perkara asing kerana parti-parti yang lain turut memperlakukan hal yang sama.

“Kalau kita lihat dalam mana-mana parti seperti DAP, UMNO atau PAS, situasi sebegini adalah perkara biasa.

“Malah ada juga elemen jenaka atau sindiran yang sebenarnya mencerminkan realiti dalaman parti itu sendiri,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Namun begitu katanya, bahan-bahan kempen yang menyentuh hal dalaman parti sewajarnya tidak dikongsi secara terbuka, demi menjaga imej parti di mata umum.

“Seharusnya saya rasa lebih molek dibuat secara tertutup kerana, yang mengundi ini hanyalah ahli-ahli parti dan perwakilan.

“Bukannya orang luar, tapi, bila dah disebarkan secara live dan dilihat oleh mereka yang bukan ahli parti itu yang nampak macam panas dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Mujibu turut berpandangan, elemen kempen Rafizi turut mempunyai serba sedikit sisi serangan peribadi namun katanya itu merupakan lumrah serangan yang secara kebiasaan dilakukan oleh mana-mana pemilihan parti.

Namun beliau sekali lagi menegaskan bahawa, kempen sepatutnya ditumpukan kepada para perwakilan dan ahli parti yang sememangnya memegang kunci pelaburan undi dan bukannya didedahkan kepada tontonan umum kerana bimbang memberi persepsi negatif terhadap parti.

Sebelum ini media melaporkan, Rafizi dalam siri jelajah kempennya menyiarkan secara langsung di platform media sosialnya dan turut didakwa seakan membuka pekung kelemahan parti sendiri menerusi ucapan awam di kempennya.

Rafizi Ramli bersama Nurul Izzah Anwar bakal merebut kerusi Timbalan Presiden PKR ketika pemilihan parti minggu depan.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden parti itu tampil mencalonkan dirinya bagi menggalas jawatan Timbalan Presiden bagi sesi 2025-2028.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat