Malaysia gesa PUIC henti retorik, bertindak bela Palestin

JAKARTA: Malaysia menggesa Kesatuan Parlimen Negara-Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (PUIC) agar menghentikan retorik semata-mata dan tampil dengan tindakan tegas dalam memperkukuh institusi serta membela nasib rakyat Palestin.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sudah tiba masanya PUIC menunjukkan kepimpinan berprinsip dengan mengambil langkah konkrit menghadapi cabaran dunia Islam masa kini.

“Ini bukan masa untuk refleksi pasif. Ini adalah seruan untuk bertindak memimpin dengan integriti, mentadbir dengan belas kasihan dan membina institusi yang mampu mengharungi apa jua cabaran,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena ulang tahun ke-25 PUIC di sini, hari ini.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Dana Kerjasama Selatan–Selatan PUIC bagi menyokong projek utama seperti pertanian, ekonomi digital dan tenaga bersih yang boleh membantu negara-negara anggota membina daya tahan ekonomi.

Tan Sri Johari juga mengusulkan pembentukan Jawatankuasa Hal Ehwal Belia PUIC dan Akademi Kepimpinan Parlimen PUIC bagi melahirkan barisan pemimpin baharu yang beretika dan berpandangan jauh.

Dalam isu Palestin, beliau menegaskan bahawa PUIC tidak boleh sekadar mengeluarkan kenyataan tetapi perlu bertindak dengan lebih tersusun dan menyeluruh.

“Sejak merdeka, Malaysia sentiasa teguh menyokong rakyat Palestin, tidak kira siapa yang memerintah. Sokongan ini adalah konsisten dan merentas generasi,” katanya.

Anda Mungkin Berminat