Oleh: Aliyaa Azmi
SHAH ALAM: Calon Timbalan Presiden dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menolak cadangan Datuk Seri Rafizi Ramli untuk berdebat secara terbuka menjelang pemilihan Timbalan Presiden parti itu pada 23 Mei ini.
Beliau sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan kepada program bersama ahli akar umbi, serta usaha merapatkan hubungan dalam parti.
“Kita nak kurangkan ketegangan kerana keutamaan kita adalah untuk menyantuni perwakilan,” katanya pada sidang media selepas Majlis temu rapat akar umbi di Shah Alam, semalam.
Menurutnya, pendekatan debat terbuka dikhuatiri hanya akan memburukkan keadaan dan melebarkan jurang perbezaan dalam kalangan ahli.
“Lebih baik kita libat urus, bukan berpolitik secara terbuka. Saya nak teruskan kerja saya, terutama dalam program Wanita dan anak muda,” katanya.
Sebelum itu, Rafizi dalam satu program di Mentakab menyatakan kesediaan berdebat dengan Nurul Izzah bagi membolehkan perwakilan membuat pilihan lebih jelas.
“Lebih baik kita debat. Biar semua tahu hala tuju masing-masing, supaya keputusan dibuat dengan matang,” katanya.
Beliau turut percaya debat terbuka mampu menurunkan ‘suhu’ dalam PKR dan memberi tumpuan semula kepada agenda parti.
Persaingan satu lawan satu antara Rafizi dan Nurul Izzah dijangka menjadi tumpuan dalam pemilihan parti kali ini.
Nurul Izzah turut mengingatkan parti supaya lebih bersedia menghadapi PRU16 dan tidak terlalu hanyut dalam perebutan dalaman.
Baca juga: