Russia Kekal Rakan Baik Malaysia

MOSCOW: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Russia kekal sebagai rakan baik Malaysia, sambil menzahirkan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin sejak 1967.

Dalam pertemuan rasmi bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kremlin pada Rabu, Anwar menyatakan hasrat Malaysia untuk mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek strategik melibatkan kerjasama dalam bidang teknologi makanan, tenaga nuklear dan ketenteraan.

“Kami akan memastikan bahawa kerjasama itu meliputi semua bidang,” kata Anwar yang mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan rasmi ke Rusia dari 13 hingga 16 Mei.

Beliau turut menyatakan bahawa pertemuan bersama Putin amat signifikan kerana ia turut disertai perbincangan bersama komuniti perniagaan dan ketua industri Rusia mengenai pelaburan dalam sektor digital, peralihan tenaga, serta pembangunan teknologi.

“Sudah banyak perbincangan dan memorandum persefahaman (MoU) diadakan, jadi telah sampai masanya kerjasama itu direalisasikan secepat mungkin,” tambah beliau.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Putin atas penghormatan serta layanan mesra yang diberikan kepada delegasi Malaysia.

“Anda telah memberikan kami keistimewaan serta penghormatan yang jarang berlaku; Rusia adalah sebuah negara yang hebat dan sangat penting yang memberikan kami penghargaan sedemikian,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Lawatan ini dilihat sebagai usaha memperkukuh lagi kerjasama strategik antara Malaysia dan Rusia dalam pelbagai bidang yang berpotensi memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat