Malaysia-Tatarstan Fokus Industri Halal dan Kewangan Islam

KAZAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kazan, Republik Tatarstan dan disambut dengan penuh adat oleh sahabatnya, Rais Rustam Minnikhanov.

Tradisi masyarakat Tatar Rusia menghormati tetamu dengan menghidangkan manisan chack chack dan karavay sebagai simbol turun-temurun yang melambangkan penghormatan dan keakraban.

Pertemuan antara kedua-dua pemimpin berlangsung di Kazan Kremlin yang menandakan usaha memperkukuh hubungan Malaysia–Rusia melalui saluran wilayah.

Perdana Menteri menegaskan komitmen Malaysia untuk memperluaskan kerjasama dalam perdagangan, industri halal dan kewangan Islam, sambil menyampaikan penghargaan atas jemputan rasmi ke Kazan.

“Kami bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan Tatarstan dengan penyertaan aktif dalam Kazan Forum serta penerokaan lebih mendalam terhadap industri halal yang berkembang pesat di wilayah itu.

“Selain itu, bidang pertanian turut diberikan perhatian khususnya dalam pembangunan baja bagi menjamin sekuriti makanan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Rais Rustam turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan Malaysia dalam Kumpulan Visi Strategik “Russia–Islamic World,” yang memperkukuh dialog antara agama dan keterangkuman sejagat.

Mesyuarat lanjut mengenai inisiatif itu dijadual berlangsung hari ini bagi meneruskan komitmen bersama.

Dalam lawatan kebudayaan, Perdana Menteri meluangkan masa melawat Cathedral of the Annunciation, monumen bersejarah abad ke-16 yang menjadi lambang keagungan seni bina Ortodoks Rusia serta bukti pertembungan budaya di Kazan.

Berhadapan dengan katedral ini berdiri megah Masjid Kul Sharif, ikon penting peradaban Islam di Tatarstan.

Keberadaan kedua-dua rumah ibadah ini secara bersebelahan melambangkan keharmonian dan persefahaman yang telah lama bertapak di bumi Rusia.

Anda Mungkin Berminat