Kes Baharu HIV Libat Golongan Muda, Pakar Sokong Usaha Pencegahan

PETALING JAYA: Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia menyokong langkah Kerajaan Negeri Terengganu yang menjalankan kempen pendidikan awam berkaitan pencegahan seks bebas dan perlakuan homoseksual melalui pemasangan papan tanda berbentuk mesej mendidik.

Presidennya, Prof. Dr. Jamalludin Ab Rahman berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha memelihara nilai moral masyarakat dan mencegah penularan penyakit berjangkit seperti HIV, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Langkah ini perlu dilihat dalam konteks kesihatan awam. Statistik dari Global AIDS Monitoring (GAM) Report 2024 yang diterbitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan lebih 75 peratus kes baharu HIV pada tahun 2022 melibatkan individu berumur 20 hingga 39 tahun.

“Lebih membimbangkan, trend jangkitan kini berpunca utama daripada hubungan seksual tanpa perlindungan, menggantikan penggunaan jarum suntikan yang sebelum ini mendominasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2022: Adolescent Health Survey turut melaporkan peningkatan amalan seks berisiko dalam kalangan remaja sekolah menengah, dengan 5.7 peratus dilaporkan melakukan hubungan seks dalam tempoh 30 hari, manakala 7.6 peratus pernah melakukannya.

Menurut Dr. Jamalludin, keadaan ini memerlukan pendekatan pendidikan pencegahan yang tegas dan menyeluruh.

“Sebagaimana kita menolak dadah, rokok dan vape kerana kesan buruk terhadap kesihatan, perlakuan seks bebas dan songsang juga perlu dicegah dengan pendekatan berasaskan ilmu, nilai dan tanggungjawab sosial,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk institusi pendidikan, ibu bapa, pemimpin masyarakat, profesional kesihatan dan NGO untuk berganding bahu memperkukuh pendidikan pencegahan dalam kalangan remaja dan masyarakat umum.

Sebelum ini, tular di media sosial satu papan tanda yang memaparkan dua figura lelaki berpegang tangan sambil dikelilingi api bersama ayat al-Quran yang melarang hubungan sejenis berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Papan tanda itu dikecam kumpulan hak asasi yang menyifatkannya sebagai penyalahgunaan agama terhadap komuniti LGBTIQ, wanita dan golongan minoriti.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat