SSPA: CUEPACS Cadang Wujud Skim Hibrid, Bayaran Sekali Gus Atau Bulanan

PETALING JAYA: Kerajaan wajar memberi pilihan kepada penjawat awam lantikan tetap bercarum di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) untuk menentukan pembayaran selepas bersara tertakluk kepada syarat dan kelayakan tertentu yang ditetapkan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, cadangan tersebut adalah bagi memberi jaminan perlindungan jangka panjang kepada pesara kerajaan untuk tetap terpelihara.

“Cadangan kedua, mewujudkan skim hibrid yang menggabungkan kedua-dua bentuk bayaran iaitu sebahagian kecil boleh dikeluarkan sekaligus manakala selebihnya dibayar secara bulanan.

“Manakala kerajaan perlu memastikan kadar caruman kerajaan adalah mencukupi untuk menampung keperluan asas pesara agar ia tidak jauh berbeza daripada nilai pencen semasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Adnan, CUEPACS kekal berpendirian bahawa skim pencen sedang dilaksanakan pada masa ini adalah yang terbaik kerana ia menjamin kebajikan pesara sektor awam secara berterusan tanpa perlu risau terhadap simpanan hari tua.

Bagaimanapun, CUEPACS mengakui kekangan fiskal dan kedudukan kewangan negara pada masa ini menyebabkan skim pencen tradisional sukar untuk dikekalkan bagi pelantikan baharu dalam jangka masa panjang.

“Sebarang bentuk pindaan atau mekanisme baharu yang diperkenalkan hendaklah berprinsip ‘tidak kurang faedah’ berbanding skim pencen sedia ada, bagi memastikan kebajikan penjawat awam kekal terbela selepas bersara.

“CUEPACS menyambut baik pendekatan (dicadangkan kerajaan) secara positif kerana ia mencerminkan keprihatinan kerajaan untuk terus menjaga kebajikan penjawat awam selepas bersara walaupun mereka tidak lagi berada dalam skim pencen tradisional.

“Pembayaran secara bulanan seperti pencen adalah satu bentuk perlindungan kewangan jangka panjang yang mampu menjamin kelangsungan hidup pesara dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang terus meningkat,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat