Anwar dipilih ikut demokrasi, mandat rakyat sah – Saifuddin Shafi

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Shafi Muhammad mengecam kenyataan Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Katanya, Armand Azha mendakwa kononnya ‘Allah menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri agar rakyat tahu siapa beliau sebenarnya’ sangat tidak berasas.

Beliau yang juga Pengarah Strategi PKR Selangor menjelaskan ia memperlihatkan betapa terdesaknya sebahagian pemimpin UMNO yang tidak mampu berhujah secara matang lantas menjadikan agama sebagai alat retorik murahan.

“Tidakkah Armand sedar bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan UMNO juga adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan?.

“Tidakkah Armand tahu Kerajaan Perpaduam kini membersihkan sebahagian besar kekotoran yang parti beliau sendiri tinggalkan melalui kepimpinan lama dahulu.” katanya di laman Facebook hari ini.

Tegasnya, Anwar Ibrahim dipilih menjadi Perdana Menteri melalui proses demokrasi yang sah, berlandaskan undang-undang dan mandat daripada majoriti wakil rakyat.

“Menggunakan nama Allah untuk menjustifikasi kebencian politik adalah satu bentuk penyimpangan akhlak dan prinsip Islam yang sebenar.

“Ini bukan sahaja satu bentuk tunggangan agama, malah satu penghinaan terhadap kebijaksanaan rakyat yang memilih pemimpin melalui sistem demokrasi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada mana-mana pemimpin politik agar tidak mempermainkan agama dalam perbahasan politik.

“Rakyat mahukan dasar, solusi dan kejujuran bukan fitnah berbentuk wahyu politik. Cukuplah, politik kita perlu lebih waras dan bertamadun,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat