Pemilihan PKR: Persiapan Berjalan Lancar – Fuziah

JOHOR BAHRU: Persiapan menjelang Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadual bermula esok (Khamis) berjalan lancar termasuk bagi pemilihan pucuk pimpinan dan penglibatan pemimpin kerajaan MADANI.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, semua komponen utama kongres telah disusun rapi, meliputi Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita, selain proses pemilihan kepimpinan pusat bagi penggal 2025-2028.

“Hasil tinjauan saya di lokasi acara mendapati persiapan berjalan lancar mengikut perancangan,” katanya memetik laporan media tempatan.

Tambah beliau, senarai pembahas serta tetamu jemputan sedang diteliti termasuk mendapatkan pengesahan kehadiran daripada pemimpin-pemimpin utama dalam Kerajaan MADANI.

Kongres Nasional PKR akan dimulakan dengan perasmian serentak Kongres AMK dan Wanita pada malam Khamis, sebelum diteruskan dengan sesi kongres kedua-dua sayap pada pagi Jumaat.

Pada sebelah malam, Presiden parti merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual menyampaikan ucapan dasar sekali gus merasmikan Kongres Nasional PKR.

Acara kemuncak pada Sabtu akan menyaksikan sesi perbahasan, penggulungan oleh kepimpinan tertinggi serta pengumuman keputusan rasmi pemilihan kepimpinan pusat.

Anda Mungkin Berminat