UNITED KINGDOM: Kerajaan Britain mengumumkan penggantungan rundingan baharu perjanjian perdagangan bebas dengan Israel ekoran tindakan ketenteraan rejim itu di Gaza yang disifatkan sebagai keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan.
Serangan terbaharu Israel menyaksikan ratusan rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh beberapa hari akibat pengeboman besar-besaran, serangan darat baharu serta krisis kebuluran yang semakin memburuk di wilayah terkepung itu.
Semasa sesi Parlimen UK pada Selasa, Setiausaha Luar Britain, David Lammy, turut mengumumkan sekatan tambahan terhadap pos penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki secara tidak sah.
“Langkah tegas dibuat selari dengan tindakan Kesatuan Eropah yang turut mengumumkan kajian semula terhadap perjanjian kerjasama perdagangan dengan Israel,” menurut Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas.
Pada Isnin, Britain bersama Perancis dan Kanada turut mengecam tindakan Israel dalam perang Gaza serta siri serbuan dan kekerasan di Tebing Barat.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, pada hari yang sama mengeluarkan kenyataan keras terhadap Tel Aviv, menyifatkan penderitaan kanak-kanak di Gaza sebagai “tidak tertanggung sama sekali” sambil mengulangi gesaannya agar gencatan senjata segera dilaksanakan.
Dalam pada itu, David Lammy dalam kenyataannya berkata, peningkatan keganasan oleh penduduk penempatan haram Israel yang disokong oleh tentera rejim telah mencapai tahap yang tidak boleh dibiarkan lagi.
“Kerajaan Britain kini mengenakan sekatan tambahan terhadap tiga individu, dua pos penempatan haram, serta dua pertubuhan yang terlibat menyokong keganasan terhadap komuniti Palestin.

“Meskipun perjanjian perdagangan sedia ada dengan Israel masih berkuat kuasa, UK menegaskan bahawa sebarang rundingan baharu tidak akan diteruskan selagi negara haram Israel meneruskan jenayah genosid mereka ke atas rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat,” katanya.
“Kerajaan Israel mempunyai tanggungjawab untuk menghentikan tindakan ganas ini.
“Kegagalan mereka untuk bertindak hanya akan terus mengancam komuniti Palestin dan menjejaskan penyelesaian dua negara,” tegas Lammy.
Beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Hal Ehwal Timur Tengah Britain, Hamish Falconer, akan menyampaikan secara terus kepada Duta Israel bahawa sekatan bantuan selama 11 minggu ke atas Gaza adalah satu tindakan ‘kejam dan tidak dapat dipertahankan’.
Baca juga: