KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan inisiatif Pemutihan Penjaja 2025 bagi memperkemas pengurusan sektor penjajaan di ibu kota, selain membuka ruang kepada penjaja tempatan menjalankan perniagaan secara sah dan teratur.
Inisiatif ini selaras arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, merangkumi dua kategori utama merangkumi penjaja beredar tanpa kenderaan dan penjaja sementara.
Jabatan Perancangan Korporat DBKL melalui kenyataan memaklumkan, penjaja beredar tanpa kenderaan merujuk individu yang menjalankan aktiviti jualan secara bergerak dari satu tempat ke tempat lain tanpa menggunakan kenderaan.
“Lesen ditawarkan kepada mereka sama ada melalui program semasa atau tanpa program dengan aktiviti dibenarkan termasuk penjualan makanan dan minuman yang berbungkus, penjualan bunga jalanan serta penjualan permainan kanak-kanak,” katanya menerusi Facebook pada Rabu.
Untuk penjaja sementara, jabatan itu menjelaskan ia meliputi individu yang menjalankan perniagaan secara statik di gerai atau petak tepi jalan mengikut waktu operasi ditetapkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Aktiviti dibenarkan terhad kepada penjualan makanan dan minuman secara berbungkus sahaja, dan lesen disediakan adalah dalam bentuk Lesen Waktu Terhad atau Lesen Gerai Tepi Jalan,” katanya.
Menurut kenyataan sama, permohonan mendapatkan lesen penjajaan akan dibuka selama sebulan bermula 1 Jun depan, kecuali bagi lesen penjaja beredar tanpa kenderaan melalui program semasa yang tertakluk kepada kelulusan dalam tempoh ditetapkan.
Semua permohonan dikemukakan akan dinilai dan disaring mengikut syarat ditetapkan DBKL, manakala maklumat lanjut berkaitan syarat kelayakan serta kaedah permohonan akan diumumkan secara terperinci melalui portal pasmi dan saluran media sosial rasmi DBKL.
“Keputusan permohonan akan dimaklumkan kepada pemohon yang berjaya pada Ogos depan.
“Semua urusan permohonan hendaklah dibuat secara langsung kepada DBKL kerana pihak kami tidak melantik mana-mana individu, wakil atau pihak ketiga untuk menguruskan permohonan ini, sekali gus mengelakkan unsur penipuan atau penyebaran maklumat tidak sahih.
“DBKL yakin pelaksanaan inisiatif Pemutihan Penjaja 2025 akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat, sekali gus meningkatkan daya saing dan profesionalisme serta menyumbang kepada persekitaran ekonomi yang lebih mampan, tersusun dan inklusif di Kuala Lumpur,” katanya.