Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi kelonggaran buat seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPT/IPTS) untuk mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP) secara atas talian bersempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 pada 26 hingga 28 Mei ini.
Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan media hari ini berkata, kelonggaran itu diberikan bagi mengurangkan impak terhadap pergerakan pelajar serta tenaga pelajar akibat kesesakan lalu lintas yang bakal berlaku ketika sidang kemuncak itu berlangsung.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil maklum berkenaan pelaksanaan penutupan jalan serta kawalan keselamatan di beberapa lokasi strategik sekitar Lembah Klang, merangkumi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
“Setiap IPT diminta untuk membuat semakan lokasi, masa dan tarikh laluan yang ditutup sepanjang 26-28 Mei ini untuk menentukan keperluan bagi PdP secara dalam talian bagi memastikan warga tidak terkesan dengan kesesakan aliran trafik,” katanya.
Ujar Zambry, pelajar serta warga IPT yang berdepan kesukaran dinasihatkan untuk berhubung terus dengan institusi masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung pelaksanaan PdP sepanjang tempoh berkenaan.
“Kementerian yakin dengan PdP secara dalam talian ini akan memberi kemudahan kepada warga untuk merancang pergerakan dan dalam masa sama memastikan proses PdP dapat berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Baca juga: