Persaingan Tak Jejas Persahabatan Dengan Rafizi – Izzah

JOHOR BAHRU: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, persahabatannya dengan Datuk Seri Rafizi Ramli kekal erat meskipun mereka kini bersaing untuk jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Bercakap dalam program “Grand Finale Bersama Membina Parti Kita” di Hotel KSL, petang semalam, Nurul Izzah berkata, keputusan pemilihan, sama ada menang atau kalah ianya tidak akan mengubah hubungan mereka yang telah terjalin sekian lama.

“Saya menang atau saya kalah, ianya tidak akan impak persahabatan selama ini.

“Rafizi sahabat saya bukan sahaja dahulu, tetapi sekarang dan sampai bila-bila,” katanya di hadapan para perwakilan.

Beliau turut mengakui bahawa walaupun pendekatan mereka berbeza, pemimpin parti harus bersikap terbuka dan mengetepikan ego demi memperkukuh perjuangan bersama.

“Mungkin berbeza cara, berbeza mekanisma dan berbeza pendekatan.

“Tetapi tolong, mahu jadi pemimpin kena buang semua ego dan sahut cabaran,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Nurul Izzah turut mengingatkan anggota parti terutama mereka yang tewas atau tidak bertanding agar tetap setia kepada PKR dan tidak menjadi punca perpecahan dalaman.

“Saya sudah beri peluang sepenuhnya sebagai seorang pengikut, saya tidak bertanding pada pemilihan lepas.

“Jadi saya harapkan semangat sama apabila tiba giliran saya,” tambahnya.

Beliau turut menyentuh rekod politiknya yang pernah bertanding di kawasan majoriti Melayu sebanyak empat kali dan memenangi tiga daripadanya.

“Saya mungkin memilih berdiam diri dan tidak banyak bersuara tetapi percayalah saya akan lawan hingga hujung,” katanya.

Terdahulu, Rafizi dilihat lebih lantang dalam kritikan terhadap kepimpinan parti terutama berkaitan isu disiplin dan akauntabiliti dalam kalangan pemimpin utama.

Anda Mungkin Berminat