JOHOR BAHRU: Integriti dan kepercayaan rakyat menjadi fokus utama strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Wakil PKR Sabah, Zaidi Jatil menegaskan faktor calon sebagai elemen penentu kemenangan selain tawaran kepada rakyat Sabah.
“Calon bukan hanya mewakili parti tetapi wajah perjuangan. Mereka mesti disayangi rakyat, berintegriti dan bekerja kuat.
“Kita mahu calon yang bekerja, bukan hanya muncul masa kempen. Jangan pandang rendah faktor calon kerana Sabah merekodkan banyak kemenangan kepada calon bebas.
“Semua ini adalah kerana faktor pengaruh calon yang mampu mengatasi faktor parti.
“Rakyat Sabah sudah bijak. Mereka tidak akan memilih sekadar lambang. Mereka akan memilih siapa yang mereka percaya,” katanya dalam sesi perbahasan perwakilan di Persada Johor yang turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Zaidi turut menekankan bahawa kemenangan memerlukan strategi membumi yang memahami denyut nadi rakyat Sabah dan bukan sekadar slogan dan retorik.
Antara isu utama yang diketengahkan beliau termasuk bekalan air dan elektrik, sistem pendidikan yang tidak seimbang, isu tanah adat dan dokumen pengenalan, peluang pekerjaan dan keselamatan sempadan.
“Masalah ini bukan sekadar isu tempatan, tetapi kini menjadi masalah nasional.
“Maka, parti harus merangka strategi dan pendekatan yang efektif. Keyakinan dan kepercayaan rakyat harus dikembalikan.
“Jentera kita mesti mengangkat suara rakyat, menjulang politik nilai dan khidmat, bukan mengulang propaganda dan fitnah,” tegasnya.
Strategi lain yang disebut juga termasuk menerjemahkan perpaduan melalui kestabilan Kerajaan Perpaduan, memperkukuh jentera PKR dengan persiapan rapi serta menguasai media sosial khususnya dalam mendekati golongan muda.