Oleh: Hanim Nadia
JOHOR BAHRU: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk menegur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya gagal menunaikan janji untuk meluangkan masa bersama parti.
Beliau berkata, kesetiaannya kepada perjuangan politik dan integriti dalam kepimpinan jauh lebih penting daripada kedudukannya dalam kerajaan.
“Saya akan keras menegur Anwar kalau tidak buat janji untuk luangkan masa bersama parti. Kalau tidak buat, maka ada jurang antara percakapan dan tindakan.
“Saya akan jadi yang pertama menegur Anwar kalau itu tidak berlaku,” katanya di hadapan perwakilan parti ketika sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Persada Johor.
Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin turut memberikan nasihat kepada Timbalan Presiden PKR yang baharu, Nurul Izzah Anwar, mengenai tanggungjawab besar yang menantinya.
“Jawab soalan pertama – ‘what the difference when given the amanah dan how to make difference from another leader before this’,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa tugas berat menanti dan menasihati Nurul Izzah agar segera mengatur strategi dengan Naib Presiden parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Ingat lepas ini tiada rehat. Nurul Izzah boleh pergi Makkah dan berehat sementara, namun selepas ini atur dulu Naib Presiden parti kerana PRN Sabah menanti.
“Kurangkan pertembungan dan kurangkan perbalahan yang melemahkan parti,” tegasnya.