KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Premier China, Li Qiang, di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang berlangsung di ibu negara.
Menurut Anwar dalam satu hantaran di Facebook, perbincangan tersebut menegaskan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada rantau ini.
“Melalui platform Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang turut menjadi fokus utama, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk terus meningkatkan hubungan
“Antara bidang tumpuan termasuk ekonomi, industri halal, perdagangan serta pengangkutan khususnya Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Selain itu, tenaga hijau dan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut menjadi antara bidang tumpuan,” katanya.
Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan penghargaan kepada China atas sokongannya dalam memperkukuh solidariti dan kerjasama antara negara-negara Selatan Global dengan impak yang signifikan terhadap kestabilan dan kemakmuran global.
“Kerjasama erat ini amat bermanfaat buat Malaysia, China dan seluruh ASEAN,” kata beliau sambil menegaskan kepentingan hubungan yang semakin erat antara kedua-dua negara.
Untuk info, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan China bagi tahun 2025 dianggarkan mencecah AS$696.7 bilion (RM3.27 trilion) dan menjadikan China sebagai rakan dagang terbesar ASEAN.