PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United, Omar Berrada dan pengendali pasukan, Ruben Amorim menjelang perlawanan antara Manchester United dan ASEAN All-Stars, malam esok.
Dalam hantaran di Facebook, pertemuan itu turut dihadiri para pemain dan pengurusan pasukan ASEAN All-Stars diketuai Ketua Jurulatih, Kim Sang Sik.
“Saya ucapkan selamat berentap buat kedua-dua pasukan yang akan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Saya masih berfikir nak sokong siapa malam esok,” seloroh Anwar.
Malam esok, skuad ASEAN All-Stars akan beraksi menentang Manchester United dalam perlawanan Maybank Challenge Cup yang dijadual berlangsung pada pukul 8.30 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Juara 13 kali Liga Perdana Inggeris, Manchester United kembali ke Malaysia selepas 16 tahun dalam siri jelajah pascamusim pada Mei ini.
Selepas itu, skuad The Red Devils akan berlepas ke Hong Kong untuk menentang pasukan kebangsaan negara berkenaan di Stadium Hong Kong pada 30 Mei.