ASEAN Ke-46: Lembaran Baharu Sinergi Asia dan Teluk

PETALING JAYA: Buat julung kalinya dalam sejarah, ASEAN ke-46 mencatat detik bersejarah dengan menghimpunkan entiti ekonomi utama ASEAN, China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Pertemuan itu bukan sekadar simbolik tetapi satu langkah konkrit menuju kerjasama lebih erat berlandaskan prinsip keterbukaan, saling hormat dan kesepakatan yang teguh.

Selaras dengan agenda ASEAN tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook berkata, perjumpaan bersejarah itu membuka ruang untuk kesejahteraan serantau yang dikongsi bersama.

Menyoroti hubungan yang telah lama terjalin, dari Laluan Sutera hingga Melaka sebagai hab maritim terkemuka, beliau berkata, pertemuan itu menjadi kesinambungan kepada jaringan perdagangan moden yang terus berkembang.

Katanya, Malaysia menyatakan keyakinan tinggi terhadap keupayaan ASEAN untuk menerajui peranan sebagai pusat global bagi inovasi, perdagangan serta pertukaran ilmu dan budaya.

Dengan KDNK ASEAN pada tahun 2023 mencecah $3.8 trilion, rantau ini kini berada di kedudukan ekonomi kelima terbesar dunia.

Perdagangan antara ASEAN dan GCC bernilai $130.7 bilion manakala ASEAN-China mencatat jumlah $696.7 bilion yang menandakan potensi pertumbuhan yang luas dan belum diterokai sepenuhnya.

“Malaysia punyai keyakinan bahawa falsafah dan semangat regionalisme yang dipatri atas faham konsensus, prinsip keterbukaan dan saling hormat akan terus menunjangi kekuatan keseluruhan ASEAN,” katanya.

Anwar berkata, dengan berpegang kepada semangat regionalisme yang berasaskan keterbukaan dan kesepakatan, ASEAN diyakini mampu memperkukuh posisi sebagai pemain utama ekonomi dan diplomasi global, menjamin masa depan lebih makmur dan lestari untuk generasi akan datang.

Anda Mungkin Berminat