PETALING JAYA: Polis mengesahkan seorang bayi lelaki berusia kira-kira tujuh bulan meninggal dunia ketika berada di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Danau Kota, Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada bapa kandung bayi tersebut pada jam 1.26 tengah hari.
Jelas beliau, kes masih dalam siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
“Kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 9 pagi hingga 11 pagi.
“Mayat telah dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.