PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, menyifatkan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai seorang pemimpin yang tidak pernah gentar melaungkan kebenaran dan berhadapan dengan sebarang cabaran politik.
Dalam kenyataan di Facebook hari ini, beliau menzahirkan penghormatan atas keberanian dan sumbangan Rafizi dalam memperjuangkan dasar serta ketelusan tadbir urus negara.
“Beliau (Rafizi) telah memperkenalkan gagasan dan dasar yang mengubah wacana kita khususnya tadbir urus, ketelusan dan keadilan ekonomi. Saya menghormatinya,” kata Nurul Izzah.
Beliau turut berkata, idea-idea Rafizi akan terus dihargai dan dilaksanakan demi manfaat negara.
“Banyak idea beliau, yang tidak akan dilupakan, malah akan diteruskan, diperhalusi dan dilaksana bukan kerana ia datang daripada beliau atau saya tetapi kerana ia adalah yang terbaik untuk Malaysia.
“Pemikiran seperti Rafizi Ramli akan sentiasa menjadi kekuatan, sama ada berada dalam kerajaan atau tidak,” tambahnya.
Dalam memastikan kestabilan dan integriti parti, Nurul Izzah turut menegaskan komitmen beliau terhadap usaha memperkukuh PKR dengan pemantauan kepimpinan yang berterusan serta penekanan kepada prinsip tadbir urus yang baik.
Sebagai langkah awal, beliau mengumumkan pelaksanaan latihan wajib berkaitan undang-undang dan tatakelola bagi semua pemimpin parti di pelbagai peringkat.
“Kami akan memperkenalkan latihan wajib kepada semua pemimpin parti, di peringkat pusat, negeri dan cabang tentang undang-undang berkaitan pengubahan wang haram (AMLA), rasuah dan pematuhan cukai.
“Kerana tadbir urus yang baik seharusnya dibina atas asas prinsip dan ilmu yang kukuh,” katanya.
Nurul Izzah berkata, inisiatif tersebut bertujuan membendung budaya politik songsang dan menjadi teladan kepada pemimpin lain.
“Ini penting untuk mengelakkan usaha membudayakan politik wang dan salah laku serta memastikan semua pimpinan memahami tanggungjawab dan memelihara integriti mereka.
“Kita seharusnya menjadi contoh kepada perubahan yang ingin kita lihat dalam diri orang lain,” ujarnya.