PETALING JAYA: Keputusan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk meletakkan jawatan daripada Jemaah Menteri disifatkan sebagai satu tindakan berprinsip yang wajar dihormati.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji sumbangan mereka sepanjang berada dalam kerajaan sambil menekankan komitmen mereka terhadap semua keputusan yang dibuat.
“Mereka (Rafizi dan Nik Nazmi) berprinsip. Itulah janji mereka (untuk letak jawatan sekiranya tewas dalam pemilihan PKR) dan kita menghormati pendirian itu,” katanya memetik laporan FMT.
Menurut Zahid, meskipun keputusan tersebut adalah urusan dalaman parti, barisan Kabinet mengakui sumbangan besar kedua-dua pemimpin dalam mengukuhkan dasar kerajaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan rakaman Konsert Desaku Mendunia dan Majlis Prapelancaran Mega Karnival 3 Dimensi di Angkasapuri, malam tadi.
Dalam pada itu, Zahid turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kuasa mutlak untuk memilih pengganti daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mengisi kekosongan dalam Jemaah Menteri.
“Pemimpin datang dan pergi, begitu juga menteri. Perdana Menteri akan memilih orang yang terbaik daripada parti berkenaan untuk berada dalam Jemaah Menteri,” ujarnya.
Rafizi dan Nik Nazmi dijadualkan mengosongkan jawatan masing-masing pada 17 Jun dan 4 Julai depan, susulan kekalahan mereka dalam pemilihan PKR 2025 minggu lalu.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Anwar telah menerima permohonan cuti dan peletakan jawatan mereka dengan sebarang keputusan lanjut akan dimaklumkan kemudian.