Tidak Boleh Ganti Menteri Sedang Bercuti – PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim belum memikirkan untuk merombak Kabinet susulan peletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Perdana Menteri menegaskan, kedua-dua menteri berkenaan berada dalam tempoh bercuti.

“Belum (fikir buat rombakan), mereka (Rafizi dan Nik Nazmi) masih bercuti, kita tak boleh ganti orang yang sedang bercuti,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kekosongan yang ditinggalkan Rafizi dan Nik Nazmi susulan kekalahan dalam pemilihan PKR baru-baru ini.

Semalam, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, berkuat kuasa pada 17 Jun 2025 dan sudah mula bercuti sehingga 16 Jun depan.

Sementara, Nik Nazmi pula berkuat kuasa 4 Julai dan sudah mula bercuti sehingga 3 Julai 2025.

Mereka berdua mengaitkan keputusan itu dengan kekalahan dalam pemilihan PKR baru-baru ini.

Susulan pengumuman itu, Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan memaklumkan, Anwar meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan.

Kedua-dua menteri itu sebelum ini tewas pada Pemilihan PKR 2025 dengan Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi tewas pada pemilihan sebagai Naib Presiden.

Anda Mungkin Berminat