PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan semangat kerjasama berpasukan dengan memetik contoh perlawanan antara ASEAN All-Stars dan Manchester United, malam tadi.
Perdana Menteri berkata, pasukan Asean All-Stars berjaya mencipta kejutan dan meraih kemenangan walaupun Manchester United menurunkan barisan utama mereka pada perlawanan persahabatan pramusim itu.
“Apa yang kita pelajari daripada mereka?
“Pentingnya bekerjasama sebagai satu pasukan,” kata Anwar ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri pada Khamis.
Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi menyaksikan Manchester United tumbang 0-1 di tangan ASEAN All-Stars dalam aksi Maybank Challenge Cup 2025.
Di hadapan lebih 72,500 penyokong, pasukan bintang serantau itu membuktikan mereka bukan sekadar pencabar biasa apabila berjaya menundukkan gergasi Liga Perdana Inggeris.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan pada minit ke-72 menerusi pemain Myanmar, Maung Maung Lwin, hasil hantaran Adrian Segecic dari Australia.
Dalam ucapan itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam penganjuran Sidang Kemuncak Asean ke-46, yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah.
“Saya melihat bagaimana mereka memulakan tugas seawal pagi.
“Mereka sangat luar biasa dan berdisiplin tinggi dalam etika kerja mereka.
“Saya lihat barisan anggota polis yang menyambut ketibaan tetamu kenamaan di lapangan terbang, kakitangan kastam dan imigresen, pemandu serta kakitangan hotel,” katanya.








