KUALA LUMPUR: Usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam melaksanakan reformasi perundangan dan institusi negara mula mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia di mata dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memaklumkan bahawa pengiktirafan tersebut terserlah apabila beliau dijemput menyampaikan pandangan dalam Tashkent Law Spring International Legal Forum 2025 yang berlangsung di Uzbekistan.
Forum berprestij bertemakan “The Age of Digital Technologies: A Legal Perspective of the Future” itu menghimpunkan tokoh-tokoh perundangan terkemuka dunia, termasuk menteri kehakiman dan digital dari Emiriah Arab Bersatu, Azerbaijan, Pakistan dan Rusia.
Menurut Azalina, beliau berkongsi tentang pelbagai inisiatif reformasi yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI, termasuk langkah-langkah pendigitalan dan kesiapsiagaan Malaysia menghadapi cabaran era teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
“Saya amat berbesar hati diberi peluang untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa bagi berkongsi usaha transformasi sistem perundangan negara.
“Ini satu pengiktirafan bukan hanya kepada kerajaan tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendukung agenda reformasi institusi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Lawatan rasmi Azalina ke Tashkent adalah atas jemputan Menteri Keadilan Uzbekistan, Akbar Tashkulov, bagi menyertai forum antarabangsa tersebut.
Penglibatan Malaysia dalam forum itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan sistem perundangan negara terus maju, progresif dan selari dengan perkembangan global.








