Pastikan Sabah, Sarawak Terima Limpahan Pembangunan Saksama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memastikan Sabah dan Sarawak terus menikmati pembangunan yang adil dan saksama sejajar dengan kedudukan kedua-dua negeri itu dalam Persekutuan Malaysia.

Dalam perutusan sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, Perdana Menteri berkata, perayaan tersebut bukan sekadar pesta menuai, tetapi lambang kesyukuran dan semangat muafakat masyarakat Sabah dan Sarawak yang menjadi asas kekuatan negara.

“Perayaan ini mencerminkan keharmonian serta kerukunan hidup masyarakat majmuk, dan menjadi simbol kesyukuran kepada alam serta limpah kurnia-Nya.

“Saya berkeyakinan bahawa nilai-nilai kemanusiaan yang luhur dan berteraskan konsep Madani mesti terus ditonjolkan, sambil kita memperkukuh semangat kemajmukan yang menjadi lambang perpaduan negara,” katanya.

Anwar menambah, kerajaan akan terus bekerja memastikan kesejahteraan rakyat Sabah dan Sarawak terjamin, termasuk dalam aspek pembangunan ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

“Mari kita bulatkan tekad untuk memastikan rakyat di kedua-dua negeri ini menerima manfaat pembangunan yang menyeluruh dan seimbang, demi masa depan generasi akan datang,” katanya lagi.

Perdana Menteri turut mengucapkan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai kepada seluruh masyarakat Sabah dan Sarawak, sambil menyeru agar semangat perpaduan terus diperkukuhkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat