DOSM: Ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus suku pertama 2025

Oleh: Aliya Azmi

PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan pada awal tahun ini apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku pertama 2025 berkembang 4.4 peratus, meskipun berdepan cabaran global.

Pertumbuhan ini didorong oleh prestasi kukuh sektor Perkhidmatan, Pembuatan dan Pembinaan, dengan ekonomi mencatat peningkatan 6.0 peratus pada bulan Mac, berbanding 3.5 peratus pada Januari dan 3.6 peratus pada Februari.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, momentum stabil ini turut disokong oleh pasaran buruh yang semakin pulih, apabila kadar pengangguran susut kepada 3.1 peratus, manakala bilangan tenaga kerja meningkat kepada 16.7 juta orang.

“Ekonomi negara kekal berdaya tahan dalam persekitaran luaran yang mencabar, dan ini terbukti melalui peningkatan penggunaan domestik serta prestasi eksport yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Jumaat.

Bagi sektor perdagangan, jumlah dagangan pada Mac meningkat 2.2 peratus kepada RM249.9 bilion, dengan eksport melonjak 6.8 peratus. Lebihan dagangan pula mencatat peningkatan ketara 94.4 peratus kepada RM24.7 bilion.

Kadar inflasi kekal rendah pada 1.4 peratus, manakala Indeks Harga Pengeluar (PPI) terus menurun, menandakan kos input yang lebih sederhana dalam sektor huluan. Ini selari dengan pertumbuhan sederhana yang dijangka dalam tempoh akan datang.

“Indeks Pelopor yang meningkat 0.6 peratus turut memberi isyarat bahawa ekonomi negara berada pada landasan positif untuk mengekalkan momentum pertumbuhan yang mampan,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat