Agihan Bantuan Jadi Jerat Maut di Gaza – UNRWA

GAZA: Sekurang-kurangnya 49 rakyat Palestin terkorban manakala lebih 300 lagi cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah penduduk yang sedang mendapatkan bantuan berhampiran pusat agihan di Rafah, selatan Gaza, semalam.

Ketua Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini menyifatkan situasi itu sebagai “perangkap maut” yang memaksa orang awam yang kelaparan berjalan puluhan kilometer dalam keadaan tidak selamat demi mendapatkan makanan.

“Agihan bantuan telah menjadi perangkap maut,” katanya dalam kenyataan yang dilaporkan agensi Anadolu Ajansi.

Israel merancang membuka beberapa pusat agihan di selatan Gaza, namun menurut Lazzarini, mekanisme sedia ada hanya menyukarkan keadaan dan mendedahkan penduduk kepada bahaya tembakan serta serangan.

Beliau turut menggesa Israel menghentikan sekatan ke atas Gaza dan membenarkan akses tanpa halangan kepada agensi PBB bagi memastikan bantuan dapat dihantar dan diagihkan dengan selamat.

“Satu-satunya cara untuk mengelakkan kebuluran besar-besaran adalah membenarkan PBB beroperasi secara bebas, termasuk UNRWA,” tegas Lazzarini.

Penasihat Media UNRWA, Adnan Abu Hasna pula menegaskan hanya sembilan peratus keperluan asas dapat dipenuhi ketika ini, dan menambah bahawa krisis kebuluran, kesihatan serta pencemaran air menjadikan keadaan di Gaza antara yang paling buruk dalam sejarah penduduknya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat