Panas Melampau, Kerajaan Arab Saudi Aktifkan Sistem Penyejukan Terbesar di Dunia

MAKKAH: Dalam menghadapi cuaca panas melampau menjelang musim Haji 1446 Hijrah, Kerajaan Arab Saudi telah mengaktifkan sistem penyejukan terbesar di dunia di Masjidilharam, Makkah, sebagai langkah proaktif memastikan keselesaan jutaan jemaah.

Menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA), sistem berkapasiti keseluruhan 155,000 tan itu dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

Ia bertujuan menyediakan persekitaran yang selesa, sejuk dan menenangkan bagi jemaah yang hadir menunaikan ibadah di bawah suhu yang mencecah paras ekstrem.

Dua stesen penyejukan utama menyokong operasi ini Stesen Shamiya dengan kapasiti 120,000 tan dan Stesen Ajyad berkapasiti 35,000 tan.

Kedua-duanya menyalurkan udara sejuk ke seluruh kawasan Masjidilharam termasuk bahagian yang telah diperluas, dengan suhu kekal antara 22 hingga 24 darjah Celsius.

Sistem ini turut dilengkapi teknologi penulenan udara canggih yang mampu menyingkirkan sehingga 95 peratus kekotoran di udara, sekaligus memastikan kualiti pernafasan berada pada tahap terbaik.

Pihak berkuasa turut melaksanakan penyelenggaraan secara berterusan dan menyeluruh, termasuk penggantian alat ganti, pemeriksaan keselamatan lokasi serta pengurusan sumber yang cekap bagi memastikan operasi berjalan lancar sepanjang musim haji.

Langkah ini dilihat selari dengan visi Arab Saudi untuk mempertingkatkan pengalaman ibadah jemaah haji melalui pendekatan teknologi, perkhidmatan canggih dan pengurusan cekap khususnya dalam menangani cabaran cuaca ekstrem.

Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi meramalkan suhu maksimum di kawasan suci termasuk Mekah, Mina, Arafah dan Muzdalifah, antara 40 hingga 47 darjah Celsius, dengan kelembapan relatif antara 15 hingga 60 peratus.

Sebagai langkah keselamatan tambahan, pihak berkuasa telah mengarahkan agar khutbah dan solat Jumaat dipendekkan sepanjang musim haji untuk mengurangkan pendedahan jemaah kepada cuaca panas melampau.

Menjelang permulaan ibadah haji pada 4 Jun 2025, lebih daripada 1.3 juta jemaah haji dari seluruh dunia telah tiba di Mekah.

Daripada jumlah tersebut, lebih 1.1 juta merupakan jemaah luar negara.

Arab Saudi telah mengumumkan bahawa sambutan Hari Raya Aidiladha akan diadakan pada hari Jumaat, 6 Jun 2025, selepas melihat anak bulan Zulhijjah pada petang 27 Mei 2025.

Ini menandakan permulaan bulan Zulhijjah 1446 Hijrah pada 28 Mei.

Hari Arafah, yang merupakan hari penting dalam ibadah haji, akan disambut pada hari Khamis, 5 Jun 2025.

Anda Mungkin Berminat