PETALING JAYA: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhasrat melaksanakan Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan bagi menyantuni golongan asnaf serta menyampaikan sendiri agihan zakat kepada mereka yang memerlukan.
Titah tersebut disampaikan oleh Seri Paduka Baginda dalam istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan sempena ulang tahun keputeraan rasmi Baginda pada 2 Jun 2025 di Istana Negara.
Langkah itu memperkukuh keprihatinan Institusi Diraja terhadap kesejahteraan rakyat terutamanya golongan fakir, miskin dan rentan.
Menjunjung titah tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyatakan sokongan padu dan komitmen penuh bagi merealisasikan hasrat murni Seri Paduka Baginda.
“Hasrat ini mencerminkan kasih sayang dan keprihatinan Institusi Diraja terhadap rakyat khususnya golongan fakir, miskin dan rentan,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Bagi memastikan kelancaran inisiatif itu, katanya, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perdana Menteri serta agensi-agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan program khas itu secara berfasa.
Mohd Na’im berkata, antara objektif utama program itu adalah menyampaikan bantuan zakat secara terus kepada mereka yang memerlukan dan mengambil pendekatan mesra rakyat melalui tinjauan turun padang.
Selain, meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian bantuan zakat dan mengukuhkan hubungan erat antara Institusi Diraja dan rakyat.
Tambah beliau, Kembara Diraja ini bukan sekadar simbol keprihatinan tetapi juga manifestasi semangat kepedulian serta budaya memberi yang semakin diperkukuh dalam masyarakat.
“Daulat Tuanku. Semoga Allah SWT memberkati pemerintahan Seri Paduka Baginda serta memberi kekuatan dan ilham dalam memayungi negara dan rakyat ke arah rahmat dan kesejahteraan bersama,” katanya.