PUTRAJAYA: Kota MADANI, sebuah inisiatif bandar berpusat yang menekankan kemudahan asas menyeluruh, bakal direalisasikan demi kebajikan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan bahawa antara kemudahan yang dirancang termasuk sekolah menegak, institusi TVET, institusi kewangan, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis serta sebuah masjid yang akan dibangunkan berdekatan kawasan perumahan.
“Fasa pertama melibatkan pembinaan sekitar 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah menegak, dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung 2027,” katanya.
Selain menyediakan infrastruktur moden, Perdana Menteri berkata, projek itu turut memberi tumpuan kepada pemeliharaan warisan budaya melalui reka bentuk masjid dan sekolah yang menggabungkan unsur seni bina tempatan.
Menurutnya, langkah itu sejajar dengan usaha mengekalkan identiti budaya dan sejarah dalam pembangunan bandar.
“Semoga segala perancangan ini berjalan lancar dan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi manfaat bersama,” katanya.