Malaysia Komited Perkasa Francais, Pelancongan dalam Hubungan Dagang dengan UK

PETALING JAYA: Malaysia terus mengukuhkan ekosistem francais negara dengan pelbagai inisiatif, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, ini termasuk Dasar Francais Negara 2030, pembiayaan MARA, geran digital oleh MDEC serta sokongan berterusan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Sasaran kita adalah jelas untuk mencapai RM100 bilion jualan francais menjelang tahun 2030.

“Malaysia turut membuka pintu kepada francais dari United Kingdom untuk meneroka potensi besar pasaran ASEAN melalui Malaysia.

“Dalam masa yang sama, kita berusaha memperluas lagi kehadiran jenama francais Malaysia ke pasaran UK yang bernilai lebih £19 bilion setahun,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, Malaysia telah mencadangkan agar sektor francais dijadikan fokus utama dalam Malaysia-UK SME Working Group di bawah Joint Economic and Trade Committee (JETCO).

“Usaha ini bakal diformalkan sebagai satu platform sokongan strategik bagi membantu jenama Malaysia menembusi pasaran UK secara lebih menyeluruh menjelang 2026,” ujarnya.

Selain sektor francais, Zahid turut mempengerusikan Sesi Meja Bulat Pelancongan bersama penggiat industri pelancongan UK sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

“Malaysia melihat United Kingdom sebagai pasaran berimpak tinggi dan sasaran kita adalah untuk meningkatkan ketibaan pelancong UK ke Malaysia kepada 500,000 orang menjelang tahun 2026, berbanding 390,000 pada masa ini,” jelasnya.

Dalam satu lagi langkah proaktif, beliau turut melancarkan kempen ‘Visit Malaysia 2026’ di London dan merupakan inisiatif yang mencerminkan komitmen kerajaan dalam mempromosikan sektor pelancongan Malaysia di peringkat global.

“Kempen ini memberi penekanan terhadap konsep pelancongan lestari, budaya mesra pelancong serta pengalaman unik seperti ‘Inap Desa’ yang menonjolkan keunikan kehidupan luar bandar Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, Malaysia bukan sekadar destinasi pelancongan tetapi juga jambatan budaya, alam dan hospitaliti yang menghubungkan hati, membuka peluang serta mencipta kenangan.

“Saya yakin pendekatan strategik ini akan memperkukuh lagi hubungan dagang dan pelancongan antara Malaysia dan UK serta menjana manfaat langsung kepada usahawan, pelabur dan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat