Israel Lancar Serangan Udara di Beirut Selatan pada Malam Sebelum Hari Raya Aidiladha

Israel telah melancarkan beberapa serangan udara di kawasan selatan Beirut dengan alasan menyasarkan pengeluaran dron Hezbollah.

Memetik laporan BBC News, serangan itu berlaku pada malam sebelum Aidiladha, salah satu perayaan utama dalam Islam, meski setelah amaran pemindahan diberikan kepada penduduk di beberapa bangunan di kawasan itu.

Tentera Israel mendakwa bahawa Hezbollah mempunyai unit yang menghasilkan “ribuan” dron secara bawah tanah dengan pembiayaan daripada Iran.

Serangan itu berlaku meskipun gencatan senjata antara Israel dan kumpulan bersenjata itu telah berlangsung selama enam bulan.

Perdana Menteri Lebanon, Nawaf Salam mengecam serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai ancaman terhadap keselamatan dan ekonomi negara terutamanya menjelang musim percutian.

Presiden Lebanon, Joseph Aoun turut mengutuk tindakan Israel sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian antarabangsa.”

Sementara itu, Israel mempertahankan tindakan mereka dengan alasan bahawa Hezbollah menggunakan dron secara meluas untuk menyerang Israel dan melanggar perjanjian antara kedua-dua negara.

Penduduk di kawasan yang terjejas menerima amaran untuk meninggalkan lokasi sebelum serangan berlaku.

Ketegangan antara Israel dan Hezbollah telah berlanjutan sejak perang Israel-Gaza dengan beberapa serangan udara Israel terhadap sasaran yang didakwa berkaitan Hezbollah dalam beberapa bulan terakhir.

Anda Mungkin Berminat