Dasar Diskaun 5 Peratus Komuniti India Muslim Akan Disemak Semula – Steven Sim

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyemak semula dasar pemberian diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit hartanah tidak terjual (overhang) di negeri itu.

Perkara ini dimaklumkan oleh Pengerusi Parti DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong menerusi satu kenyataan di laman Facebook parti berkenaan, hari ini.

“Saya mengambil maklum tentang maklum balas orang awam berhubung diskaun lima peratus yang diberikan kepada komuniti India Muslim bagi tujuan pembelian unit hartanah tidak terjual (overhang) di Pulau Pinang.

“Sebagai sebuah parti yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan, DAP sentiasa memperjuangkan keadilan dan kebajikan semua rakyat Malaysia, tak kira kaum dan agama,” katanya.

Menurut Steven, beliau telah berbincang dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan mereka bersetuju supaya perkara ini dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)nuntuk semakan semula dan perbincangan lanjut.

“Adalah penting untuk kerajaan negeri Pulau Pinang terus menjunjung prinsip keadilan sosial dan memastikan hak setiap rakyat Malaysia untuk memiliki rumah dipelihara,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan negeri sebelum ini telah memperkenalkan insentif diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit kediaman menerusi dasar baharu ‘Dasar Pemangkin Momentum Sektor Hartanah dan Pemilikan Rumah Inklusif Madani’ (Madani Home Ownership Campaign – MOC).

Insentif itu berkuat kuasa mulai 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026 dan dikhaskan kepada golongan India Muslim yang berminat memiliki hartanah di negeri itu.

Anda Mungkin Berminat