Armizan Tempelak Wee Ka Siong, Jangan Kelirukan Rakyat

PETALING JAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengenai peraturan kawalan bekalan adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan rakyat.

Dalam sidang media pada 5 Jun lalu, Armizan berkata, beliau merujuk kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021– PPKB (Pindaan) 2021 yang telah digubal dan dikuatkuasakan sejak 15 Oktober 2021.

Namun, Wee dalam kenyataannya merujuk kepada Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2022 (Akta A1652) yang bukan perundangan yang dimaksudkan oleh Armizan.

“Memang tidak jumpa peruntukan undang-undang yang saya maksudkan sebab saya sebut A, beliau rujuk Z,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Armizan turut mengingatkan bahawa jika MCA benar-benar mahu menjadi ‘jurucakap rakyat’, bantahan terhadap peraturan ini sepatutnya dibuat lebih awal di mana ketika ia mula dikuatkuasakan pada 2021 dan bukan hanya sekarang.

Terdahulu, Wee Ka Siong mempertikaikan pelaksanaan Ops Gasak yang menurutnya menekan peniaga kecil dengan larangan penggunaan LPG bersubsidi tanpa permit.

Beliau mendakwa bahawa tindakan kerajaan itu membebankan peniaga makanan kecil dan sederhana serta mencetuskan kekeliruan dalam pelaksanaannya.

“Kenapa premis makanan tidak lagi dibenarkan menggunakan tong gas bersubsidi yang diperuntukkan untuk kegunaan rumah, sebaliknya diarahkan menggunakan gas komersial?” soal Wee dalam kenyataannya sebelum ini.

MCA juga mendakwa bahawa tekanan mereka terhadap kerajaan akhirnya membuahkan hasil, apabila KPDN bersetuju untuk membenarkan peniaga mikro dan kecil terus menggunakan LPG bersubsidi buat sementara waktu.

Dalam pada itu, Armizan berkata, beliau tidak kisah jika dituduh berbohong tetapi meminta agar rakyat tidak dikelirukan dengan rujukan kepada undang-undang yang tidak disebut.

“Ya benar saya Ahli Parlimen penggal pertama dan Presiden MCA sudah berpenggal-penggal di Dewan Rakyat dan lama sebagai Anggota Pentadbiran.

“Memang lebih jauh berpengalaman. Namun, dalam ceteknya pengalaman saya berbanding Presiden MCA, saya tetap berpegang dan merujuk kepada punca kuasa perundangan yang ada,” katanya.

Beliau juga berkata, menuduhnya memetik punca kuasa perundangan yang tidak wujud bukanlah cerminan kepada kebijaksanaan dan pengalaman Wee Ka Siong.

Anda Mungkin Berminat