KPT Gerak Semua Bantuan Untuk Mangsa Nahas Bas UPSI

IPOH: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggerakkan segala bentuk bantuan serta sokongan segera kepada mangsa dan keluarga terlibat dalam nahas tragis membabitkan sebuah bas yang membawa warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Setakat ini, 15 orang telah disahkan meninggal dunia, manakala beberapa lagi dilaporkan cedera dalam kemalangan yang berlaku awal pagi tadi.

13 jenazah telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk proses bedah siasat, manakala dua lagi sedang menjalani post-mortem di Hospital Gerik.

Mangsa yang cedera sedang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Gerik dan keadaan mereka akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang kini dalam perjalanan ke Hospital Ipoh untuk bertemu dengan keluarga mangsa, menyatakan bahawa pihak KPT dan UPSI telah bertindak segera dalam menguruskan bantuan menyeluruh termasuk sokongan emosi, logistik, dan keperluan keluarga mangsa.

“Kami amat bersedih atas tragedi ini. KPT bersama UPSI telah menubuhkan bilik gerakan khas serta talian hotline bagi menyelaras bantuan.

“Urusan penginapan untuk keluarga mangsa turut dikoordinasi dengan kerjasama Politeknik Ungku Omar dan Kolej Komuniti Gerik,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, seluruh warga KPT dan institusi pengajian tinggi awam serta swasta di seluruh negara turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Kami mohon seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan agar segala urusan dipermudahkan dan keluarga mangsa diberi ketabahan menghadapi ujian ini,” tambah beliau.

Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kemalangan.

UPSI juga komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib dan memastikan kebajikan semua pelajar dan staf yang terlibat terus terbela.

Anda Mungkin Berminat