PETALING JAYA: Kerajaan menyalurkan bantuan awal sebanyak RM2,000 serta bantuan bencana RM1,000 kepada waris mangsa tragedi kemalangan bas persiaran yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak, awal pagi tadi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban waris termasuk bagi menguruskan pengebumian mangsa.
“Pihak UPSI telahpun mengumumkan bantuan-bantuan segera ini termasuk daripada pihak KPT iaitu setiap mangsa yang terlibat bagi keluarga mereka menguruskan jenazah…Bantuan RM2,000.
“Manakala UPSI akan mengeluarkan RM1,000,” katanya memetik laporan media tempatan pada sidang media di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Perak.
Menurut Zambry, UPSI akan bertanggungjawab dalam menyalurkan keseluruhan bantuan tersebut kepada waris mangsa.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil untuk membantu mangsa serta keluarga mereka.
Dalam perkembangan sebelum ini, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak mengesahkan menerima laporan 15 individu maut dalam kemalangan tersebut yang melibatkan 48 mangsa secara keseluruhan.








