TEWAS kepada Malaysia 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 adalah keputusan tidak disangka-sangka kata Pengendali Vietnam, Kim Sang-sik.
Ulasnya, kekalahan tersebut merupakan situasi yang tidak dijangka dan beliau memohon maaf kepada penyokong Vietnam yang telah menyaksikan perlawanan tersebut.
“Kekalahan 4-0 itu adalah satu keputusan yang tidak dapat dijangkakan. Saya rasa pemain dan penyokong Vietnam sudah pasti kecewa dengan permainan kami.
“Tak sangka boleh kalah seteruk ini! Lawan Malaysia benar-benar susah.
“Jadi saya rasa bertanggungjawab dengan keputusan ini. Saya memohon maaf kepada penyokong Vietnam yang menonton perlawanan di rumah dan juga yang hadir menyaksikan perlawanan di sini,” katanya selepas perlawanan tersebut di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Tiada sebarang gol dalam separuh masa pertama namun aksi berbeza pada separuh masa kedua apabila anak didik Peter Cklamovski menjaringkan empat gol tanpa balas dalam tempoh 45 minit di hadapan 61,512 penyokong.
Lebih manis, kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan skuad negara tiga mata penuh untuk mengukuhkan kedudukan ke Piala Asia 2027, malah turut memecah kebuntuan 11 tahun tanpa kemenangan ke atas skuad ‘Naga Emas’.
Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia berada di tangga teratas Kumpulan F dengan dua kemenangan daripada dua perlawanan, mengumpul enam mata maksimum, sementara Vietnam kekal dengan tiga mata.
Selain Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado, La’Vere Corbin-Ong serta Dion Cools turut mencatat nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu.