Lim Sian See putar isu data peribadi – MCMC

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mengarahkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data peribadi pengguna secara senyap seperti yang didakwa pengendali media sosial, Lim Sian See, baru-baru ini.

Sebaliknya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjelaskan bahawa data yang dikumpulkan menerusi projek “Mobile Phone Data” adalah berbentuk statistik dan telah dinyah-identiti, tanpa melibatkan nama, nombor kad pengenalan, sejarah pelayaran internet atau sebarang maklumat sulit pengguna.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, maklumat itu digunakan bagi tujuan perancangan infrastruktur digital negara termasuk mengenal pasti capaian jalur lebar, corak penggunaan internet serta membantu pembangunan ekonomi digital mengikut kawasan.

“Data yang diminta bukan data peribadi. Ia adalah laporan agregat yang telah diproses dan ditapis oleh pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi sebelum diserahkan kepada MCMC.

“Tiada data mentah atau maklumat individu dihantar kepada pihak berkuasa,” katanya.

Difahamkan, projek berkenaan telah dibincangkan dalam beberapa sesi libat urus bersama industri sejak dua tahun lalu dan dilaksanakan mengikut saluran sah berdasarkan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dakwaan Lim yang dikenali sebagai alter ego kepada Eric See-To, bekas pegawai komunikasi Barisan Nasional, disifatkan sebagai cubaan mewujudkan keresahan dalam kalangan rakyat melalui naratif konspirasi.

Lim sebelum ini turut dikaitkan dengan beberapa hantaran berunsur fitnah terhadap pimpinan kerajaan terdahulu dan kini dilihat aktif menyerang pentadbiran Madani.

MCMC turut menegaskan bahawa tiada individu dijejak atau dipantau menerusi inisiatif itu, malah tiada unsur pencabulan privasi berlaku seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak.

“Projek ini selaras dengan amalan terbaik global seperti di negara-negara Eropah, Brazil dan Indonesia. Pengumpulan data statistik sedemikian penting bagi perancangan dasar dan tidak harus diputarbelit sebagai cubaan mengintip rakyat,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat