Hampir 500,000 Anak Muda Pilih TVET, Bukti Keyakinan Rakyat Semakin Kukuh – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa usaha berterusan kerajaan memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini mula menunjukkan hasil memberangsangkan, apabila hampir setengah juta anak muda memilih laluan itu sebagai pilihan utama pendidikan.

Berucap merasmikan Hari TVET Negara 2025, beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai perubahan besar berbanding dua tahun lalu ketika kerajaan berdepan cabaran meyakinkan syarikat dan konglomerat besar terhadap kesiapsiagaan negara melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi kehendak industri.

“Namun hari ini, kebimbangan itu semakin terurai. Perkembangan ini mencerminkan usaha kolektif seluruh pasukan dan keyakinan rakyat, khususnya ibu bapa terhadap masa depan anak-anak mereka melalui TVET,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu bukan hasil usaha satu pihak semata-mata tetapi hasil kerjasama erat semua pemain industri, agensi dan kerajaan.

“Semangat Madani mesti didasari sikap berpasukan.

“Elakkan ujub berlebihan dan jangan perkecilkan usaha dalam memperkukuh sistem TVET negara,” tegasnya.

Sebagai bukti komitmen berterusan kerajaan, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi memperkasa program TVET di Melaka selain tambahan RM50 juta kepada Majlis TVET Negara untuk memperluaskan program berkaitan kemahiran teknikal dan keusahawanan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia berjaya menarik pelaburan berjumlah RM89.8 bilion pada suku pertama tahun ini, meskipun dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu akibat perang dagang dan tekanan ekonomi antarabangsa.

“Ini bukan kebetulan. Ia adalah hasil keyakinan pelabur terhadap kesiapsiagaan tenaga kerja kita dalam sektor seperti pengurusan, pembuatan dan teknikal,” katanya.

Anda Mungkin Berminat