Menteri Turun ke Lokasi Tragedi UPSI, Sayu Lihat Serpihan Barang Mangsa

PETALING JAYA: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan akan memastikan setiap peruntukan yang dilaburkan digunakan secara berintegriti demi keselamatan pengguna jalan raya.

Kenyataan itu dibuat beliau susulan tragedi memilukan yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di laluan Gerik-Jeli, Perak pada Isnin lalu.

“Sayu dan amat memilukan. Turun ke lokasi kemalangan pelajar-pelajar UPSI di Gerik-Jeli dan melihat serpihan barangan mangsa yang masih ditinggalkan di sini.

“Hati saya sebagai seorang ayah kepada anak-anak yang juga masih belajar seperti pelajar-pelajar ini, turut terusik.

“Tidak tergambar kesedihan yang ditanggung oleh semua keluarga mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander memaklumkan bahawa laluan Gerik-Jeli (FT004) merupakan antara laluan pertama yang diberikan keutamaan untuk dinaik taraf sejak awal pelantikannya sebagai Menteri Kerja Raya.

“Di awal pelantikan saya sebagai Menteri Kerja Raya, laluan Gerik-Jeli ini merupakan antara laluan pertama yang saya tekankan untuk dibaik pulih secara berperingkat,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa dalam tempoh enam bulan pertama menggalas portfolio tersebut, peruntukan RM30 juta telah segera diluluskan pada Jun 2023 bagi membina semula sebahagian laluan berkenaan.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menambah peruntukan RM30 juta pada tahun yang sama.

Jelasnya lagi, walaupun jumlah keseluruhan masih belum mencukupi bagi menampung kerja-kerja pembaikan sepenuhnya di laluan sepanjang lebih 200 kilometer itu, kementerian kekal komited untuk mengagihkan dana sedia ada bagi memperbaiki segmen jalan serta perabot jalan yang paling kritikal.

“Sedikit demi sedikit, penambahbaikan dibuat secara berperingkat mengikut peruntukan yang diterima daripada kerajaan.

“Bagi tahun 2025, sebanyak RM55 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan di Lebuhraya Timur-Barat FT004,” tambahnya.

Alexander turut memaklumkan perkembangan projek semasa bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.

Antara langkah yang diambil, katanya, termasuk Penilaian Keadaan Turapan (PCA) menggunakan teknologi terkini yang telah siap dijalankan.

“Laporan terperinci sedang disediakan sebagai panduan utama untuk pelaksanaan kerja-kerja turapan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, dalam aspek kerja-kerja bukan turapan pula, pemasangan ‘guardrail’ dan papan tanda kini berada pada tahap 10 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2025.

Menurutnya, lokasi kemalangan tragis di Seksyen 170.4 turut tersenarai dalam program pemasangan lampu solar bagi meningkatkan keselamatan di selekoh berbahaya.

“Kerja pemasangan dijadual bermula Julai ini dan dijangka siap Oktober 2025.

“Program pavemen bernilai RM80 juta akan dimulakan selepas laporan PCA dimuktamadkan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat