Berbeza Politik, Tidak Halang Anwar Luluskan Kos Lawatan Mahathir

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perbezaan pandangan politik tidak menghalangnya untuk meluluskan permohonan peruntukan sebanyak RM486,000 bagi membiayai kos lawatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ke Forum Antarabangsa Nikkei ke-30 di Tokyo, Jepun, bulan lalu.

Menurut Anwar, meskipun Tun Mahathir sering mengkritik dan menyerang kepimpinan beliau secara terbuka, kerajaan tetap mengambil pendekatan profesional dan mempertimbangkan permohonan berdasarkan kelayakan dan keperluan, bukan sentimen politik.

 “Ada hak beliau untuk memohon, tetapi terserah kepada Perdana Menteri untuk meluluskan. Saya tetap meluluskan RM486,000 untuk membiayai tujuh daripada sembilan orang dalam delegasi tersebut,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden PKR di sebuah hotel di Ayer Keroh.

Permohonan peruntukan dibuat oleh Tun Mahathir sendiri untuk menyertai forum berkenaan, yang berlangsung dari 29 hingga 30 Mei 2025 di Tokyo.

Forum tersebut merupakan antara platform antarabangsa yang sering dihadiri oleh Mahathir sebagai tokoh kenegaraan dan pemimpin berpengaruh di Asia.

Anwar menegaskan, meskipun sentiasa dikritik, kerajaan tetap menghormati kedudukan dan sumbangan Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri.

“Saya tidak mahu ambil sikap negatif. Walaupun hari-hari diserang, kita tetap luluskan permohonan kerana menghormati peranan beliau di pentas antarabangsa,” ujarnya lagi.

Tun Dr Mahathir dalam ucapannya di forum tersebut turut memberi bayangan bahawa penyertaannya kali ini mungkin merupakan yang terakhir, menjadikan kehadirannya di Forum Antarabangsa Nikkei ke-30 sebagai momen yang signifikan dalam kerjayanya di peringkat global.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat