Nahas UPSI: Perketat Pemantauan Bas Sewa, Perkukuh Dasar Keselamatan Pelajar – Menteri

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil langkah proaktif dengan memperketat pemantauan ke atas penggunaan kenderaan awam, khususnya bas sewa khas yang digunakan oleh pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Hal itu susulan tragedi kemalangan di Gerik yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap kenderaan yang membawa pelajar mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan dan dalam keadaan baik.

“Kita akan ambil langkah ke hadapan untuk beri perhatian serius terhadap pengurusan dan keadaan kenderaan awam yang digunakan pelajar, seperti bas dan kereta sewa,” katanya,dipetik pada Majlis Ramah Mesra Pimpinan Zon Enam UMNO Sabah di Pejabat UMNO Kalabakan malam tadi.

Menurut Zambry, pemantauan laluan jalan raya juga akan dipertingkat dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya yang telah turun padang bagi meninjau keadaan laluan utama yang berisiko tinggi.

“Kita perlu belajar daripada insiden ini dan berusaha memperbaiki kelemahan yang ada. KPT juga akan dapatkan pandangan pelbagai pihak bagi memperkukuh dasar keselamatan, termasuk aktiviti luar kampus,” katanya lagi.

Zambry turut menegaskan bahawa insiden tragik yang menimpa pelajar UPSI itu wajar dijadikan pengajaran besar oleh semua pihak agar aspek keselamatan pelajar tidak lagi dipandang ringan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat