Kerajaan Setuju Bantu Selesai Hutang Premis Kolej UNIKOP Secara Berperingkat

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk membantu meringankan beban hutang yang ditanggung Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Berhad menerusi potongan munasabah, bukannya pelupusan penuh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas permohonan dikemukakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, yang memohon agar hutang sewaan premis Kolej UNIKOP Cyberjaya bagi tahun 2024 kepada Cyberview Sdn Bhd dihapus kira.

“Saya tidak fikir wajar untuk lupus semua hutang, tapi berdasarkan prestasi baik pihak polis, kita akan beri potongan yang munasabah.

“Saya minta koperasi kemukakan laporan lengkap kepada Kementerian Dalam Negeri dan kepada saya sendiri. Pada masa sama, saya arahkan Kementerian Kewangan cari kaedah lain untuk bantu ringankan beban pengurusan dan hutang lapuk koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad kali ke-90, di sini, hari ini. Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa kerajaan lebih memilih untuk menyalurkan projek kepada koperasi sebagai strategi meningkatkan pulangan kepada ahlinya berbanding pemberian dana secara terus.

“Sebagai contoh, kalau satu projek boleh memberi manfaat kepada 100,000 anggota polis, saya beri jaminan kita akan pertimbangkan. Insya-Allah, tahun ini kita boleh luluskan dua hingga tiga projek untuk koperasi laksanakan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kecekapan dan prestasi pengurusan koperasi yang kini menunjukkan kemajuan memberangsangkan.

“Saya memang tegas, tapi saya hargai disiplin tinggi, kerja kuat dan prestasi yang baik. Kalau semuanya dipenuhi, saya tiada masalah untuk beri sokongan penuh,” tambahnya.

Pada majlis sama, Anwar turut menyampaikan pampasan insurans kepada sembilan waris anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas jalan raya di Teluk Intan, Perak, bulan lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat