PETALING JAYA: Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan permohonan lawatan rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jepun disifatkan sebagai bukti jelas bahawa kerajaan kini mengamalkan politik matang, bukan politik dendam.
Pengarah Pilihanraya Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohd Sany Hamzan berkata, walaupun Anwar sebelum ini pernah diaibkan dan difitnah oleh bekas Perdana Menteri itu, beliau tetap menunjukkan jiwa besar demi menghormati institusi serta keperluan pentadbiran negara.

“Kalau Anwar mahu berdendam, beliau ada kuasa untuk menolak permohonan tersebut. Tapi ini pendekatan politik baharu yang matang, berakhlak dan ada integriti,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Menurutnya, sikap itu wajar dijadikan contoh kepada semua ahli politik, khususnya generasi muda, supaya menolak budaya politik berasaskan dendam, serangan peribadi dan fitnah.
“Kita seharusnya berbeza pandangan berdasarkan dasar, seperti ekonomi, pendidikan, atau luar bandar. Bukan menyerang peribadi dengan tuduhan liar seperti komunis, agen Israel, atau Islam lemah,” tegasnya.
Beliau menyifatkan langkah Anwar itu sebagai simbol kematangan dan kebijaksanaan politik yang sepatutnya menjadi teras kepada semua pemimpin tanpa mengira latar belakang.

“Saya percaya ini bukan keputusan mudah, tapi beliau menunjukkan jiwa besar. Inilah contoh pemimpin yang meletakkan negara melebihi kepentingan peribadi,” ujarnya.
Menurut Mohd Sany, pendekatan Perdana Menteri itu juga selari dengan semangat Malaysia Madani yang mengangkat nilai adab, ihsan dan kemanusiaan dalam kepimpinan negara.
Katanya, budaya politik matang amat penting bagi mewujudkan suasana sihat yang membolehkan rakyat menilai dasar dan perkhidmatan kerajaan secara objektif, bukan emosi.
“Sikap berdendam dan politik peribadi tidak akan membawa negara ke hadapan. Kita mahu pemimpin yang bijak berhujah dan berani berdepan pandangan berbeza, bukan yang menjatuhkan lawan dengan fitnah,” jelasnya.
Beliau turut menggesa agar semua pihak, termasuk pembangkang, mencontohi pendekatan Anwar dalam membina politik yang lebih inklusif dan sejahtera.
“Inilah budaya politik yang kita perlu semai, tidak bersetuju bukan bermaksud memusuhi. Rakyat mahu lihat pemimpin bertanggungjawab, bukan bermusuh selama-lamanya,” katanya.
Baca juga: