PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan usaha memperkukuh amalan tatakelola baik perlu diperkasakan di semua peringkat, termasuk dalam kalangan remaja dan belia.
Beliau berkata, pembudayaan nilai seperti integriti, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban tidak boleh hanya disasarkan kepada penjawat awam semata-mata, sebaliknya harus dipupuk sejak usia muda agar dapat melahirkan barisan pewaris kepimpinan negara yang beramanah.
“Ini bukan sekadar membentuk individu berintegriti, tetapi juga melahirkan generasi kepimpinan masa hadapan yang mampu membawa aspirasi rakyat dengan penuh tanggungjawab dan profesionalisme,” katanya menerusi kenyataan ketika menghadiri Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan, hari ini.
Jelas beliau, penekanan terhadap penglibatan anak muda merupakan antara langkah strategik kerajaan dalam melaksanakan agenda reformasi tadbir urus secara menyeluruh.
Anwar berkata, antara pendekatan yang digunakan ialah melalui Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) serta bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan pelbagai pihak berkepentingan.
“Usaha ini bertujuan meningkatkan kesedaran serta pemahaman generasi muda terhadap prinsip-prinsip kenegaraan dan kepimpinan yang berteraskan nilai tatakelola,” katanya.
Kerajaan juga komited memastikan pendidikan nilai dan integriti menjadi sebahagian penting dalam proses pembentukan sahsiah serta jati diri anak muda.
“Tatakelola yang kukuh dan berkesan hanya akan tercapai apabila rakyat memahami kepentingannya dan berperanan secara aktif dalam menolak rasuah serta penyelewengan,” tambah beliau.
Baca juga: