KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keutamaannya dalam memerangi rasuah bukan untuk menghukum atau memenjarakan individu tertentu, sebaliknya memastikan wang negara yang diseleweng dikembalikan demi kepentingan rakyat.
“Saya bukan minat nak penjarakan orang. Saya ada minat nak merampas balik wang itu supaya kembali kepada rakyat. Itu minat saya. Saya nak hentikan budaya ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Beliau turut mengulangi komitmennya untuk terus mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpin, sama ada yang masih berkhidmat atau tidak, ahli perniagaan mahupun tokoh korporat yang terbabit dalam pembaziran dan penyelewengan berbilion ringgit dana negara.
“Apabila kita sudah mengambil tindakan terhadap pemimpin yang korup… saya tidak melihat kemarahan atau sokongan (daripada masyarakat). Sepatutnya kita tunjukkan pendirian tegas.
“Tetapi itu tidak mengapa. Saya tetap akan menjalankan tugas saya, sama ada mendapat sokongan umum atau tidak. Itu tanggungjawab saya,” katanya.
Anwar turut mempersoalkan bagaimana negara sebelum ini boleh membiarkan kekayaan negara dipunggah oleh segelintir individu tanpa sebarang tindakan tegas.
“Bagaimana negara mengizinkan puluhan bilion dipunggah oleh beberapa tokoh politik dan korporat, kemudian dilupakan begitu sahaja? Di mana pengajarannya? Apa makna kuasa?” soal beliau.
Jelasnya lagi, terdapat pihak yang sanggup berpakat dan membiayai personaliti tertentu untuk menyeleweng dana negara, namun beliau memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan membiarkan perbuatan itu berulang.
Baca juga: