PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) bertindak menggantung serta-merta lesen memandu vokasional (PSV) milik pemandu bas yang terlibat dalam nahas membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penggantungan itu dilakukan di bawah peruntukan Seksyen 56(4), Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], dan akan kekal berkuat kuasa sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Sebagai langkah proaktif demi menjaga kepentingan awam dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya, penggantungan lesen ini akan kekal berkuat kuasa sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, JPJ turut membuka siasatan terhadap pemilik syarikat serta pihak yang menerima pajakan permit operasi bas berkenaan.
Tambah Aedy, agensi itu menegaskan komitmennya untuk tidak berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang jalan raya.
“JPJ menegaskan komitmennya untuk terus mengutamakan keselamatan jalan raya dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya,” ujarnya.