KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat kejayaan ketara apabila melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Ranking Daya Saing Dunia 2025 oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD).
Ia menandakan pencapaian terbaik negara sejak pandemik Covid-19 melanda.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, peningkatan itu mencerminkan keyakinan pelabur serta komuniti antarabangsa terhadap kepimpinan ekonomi di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
“Kita menunjukkan prestasi kompetitif dari segi prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.
“Ini bukti kita berada di landasan yang tepat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, antara pencapaian utama negara termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.1 peratus tahun lalu, pembayaran dividen KWSP tertinggi sejak 2017 sebanyak 6.3 peratus serta rekod pelaburan langsung asing (FDI) mencecah RM378.5 bilion, yakni tertinggi dalam sejarah negara.
Chean Chung turut menegaskan keperluan untuk memperkukuh daya saing negara dengan melaksanakan segera Rang Undang-Undang Komitmen Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan (GSEC) yang diluluskan Parlimen pada Mac lalu.
“GSEC akan memastikan agensi kerajaan menilai semula prosedur sedia ada dan mengurangkan beban peraturan sekurang-kurangnya 25 peratus setiap tiga tahun,” jelasnya.
Beliau berkata, akta tersebut bakal memperkenalkan sistem pemarkahan bagi menilai kecekapan perkhidmatan awam di peringkat Persekutuan dan Negeri, seterusnya membantu memperbaiki skor indeks persepsi rasuah negara.
Chean Chung menggesa supaya agenda reformasi ini dipercepatkan dalam tempoh dua tahun terakhir pentadbiran agar Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global.
“Kita sudah berada di landasan yang betul. Sekarang, kita perlu bergerak lebih laju,” katanya.