PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) hari ini menggesa semua rakyat Malaysia di Iran untuk meninggalkan negara itu dengan serta-merta susulan situasi keselamatan yang semakin meruncing ekoran serangan agresif rejim Israel terhadap Iran pada 13 Jun lalu.
Dalam satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan bahawa ketegangan di rantau itu semakin buruk dan boleh berubah menjadi lebih parah tanpa sebarang amaran awal.
Justeru katanya, langkah berjaga-jaga diambil demi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara.
“Kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran sedang memantau rapi perkembangan keselamatan di Iran.
“Semua rakyat Malaysia yang telah berdaftar di negara itu disahkan selamat dan telah dinasihatkan untuk segera keluar dari Iran menggunakan apa jua kaedah yang selamat dan tersedia,” kata kenyataan itu.
Kedutaan Malaysia di Tehran juga terus berhubung rapat dengan rakyat Malaysia di sana dan bersedia memberikan bantuan konsular yang diperlukan bagi melancarkan proses perjalanan mereka keluar dari negara itu.
Sebagai langkah tambahan, Wisma Putra turut mengaktifkan Bilik Gerakan bermula hari ini, 17 Jun, bagi membolehkan ahli keluarga terdekat di Malaysia mendapatkan maklumat lanjut berkenaan situasi melibatkan orang tersayang di Iran.
Untuk sebarang kecemasan, rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran di talian: +98 21 8807 2444
+98 21 8807 8606
+98 933 535 2602
atau menerusi e-mel: [email protected] / [email protected]
Manakala, bagi ahli keluarga pula boleh menghubungi Bilik Gerakan di talian +603 8887 4570 atau e-mel ke [email protected] untuk maklumat lanjut.
Wisma Putra menegaskan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa menjadi keutamaan dan pihaknya akan terus memantau situasi semasa dengan teliti.