KUALA LUMPUR :Malaysia terus menarik keyakinan pelabur antarabangsa dalam sektor tenaga apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ConocoPhillips, Ryan Lance, petang tadi.
ConocoPhillips merupakan antara syarikat minyak dan gas utama dari Amerika Syarikat yang terlibat secara aktif dalam aktiviti penerokaan, pembangunan dan pengeluaran tenaga di peringkat global, termasuk di Malaysia.
Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan MADANI kekal komited terhadap dasar pelaburan yang jelas dan kondusif bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama, khususnya dalam sektor tenaga strategik.
“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh dasar pelaburan yang stabil dan mesra pasaran demi memberi keyakinan kepada syarikat gergasi seperti ConocoPhillips untuk memperluaskan operasi dan pelaburan mereka di Malaysia,” kata Anwar.
ConocoPhillips turut menyatakan komitmen berterusan terhadap pelaburan di Malaysia, terutamanya melalui penglibatan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran Kluster Kebabangan (KBBC PSC) di Sabah.
Operasi ini dikendalikan oleh anak syarikat ConocoPhillips Sabah Gas Ltd dengan kerjasama PETRONAS sebagai rakan strategik.
Pelaburan berterusan syarikat global dalam sektor minyak dan gas negara diyakini dapat menyumbang kepada kestabilan tenaga jangka panjang, memacu pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat tempatan.